Ukhwah di jalan Allah adalah nikmat besar dan merupakan bekalan yang melimpah serta sentiasa baru. Allah S.W.T menganugerahkan nikmat ini kepada orang-orang BERIMAN dan menyeru mereka untuk tidak bercerai-berai.
Firman Allah dalam Surah Al-Imran : 103 yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”
Ukhwah merupakan nikmat yang tidak dapat dibeli dengan wang kekayaan dunia, tetapi ia wujud dengan kurniaan dan kekuasaan Allah S.W.T.
Orang yang hidup di bawah naugan cinta dan ukhwah KERANA Allah merasakan kebahagian dan ketenangan jiwa yang tidak pernah dirasakan oleh orang-orang yang berkumpul atas urusan dunia.
Ikhwanul Muslimin telah merasakan kebahagiaan tersebut. Sehinggakan salah seorang daripada mereka merasa terasing apabila tidak hadir pada majlis mereka atau kerana terpaksa berjauhan, bahkan sebahagian mereka mengungkapkan “Suasana ukhwah ikhwan bagi setiap anggota ibarat air bagi ikan”
Kita sebagai umat Islam seharusnya jelas akan kepentingan ukhwah atau bersatu, berkerjasama kerana Allah dalam melakukan sesuatu pekerjaan dengan merujuk peristiwa di mana Rasulullah S.A.W mempersaudarakan kaum Muhajirin dan kaum Ansar.
Dalam bersaudara juga kita hendakalah mengamalkan ithar (mengutamakan saudaranya lebih dari dirinya)
Sahabatku, dalam usaha kita menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran ayuh kita wujudkan ukhwah islamiah iaitu mulai sekarang harus sedar untuk memilih rakan-rakan yang mempunyai jiwa dan pemikiran Islam bukannya rakan yang hanya mahir berhibur dan bersuka ria dengan urusana dunia. Kerana rakan yang mempunyai jiwa Islam akan mewujudkan persaudaraan Islam yang akan memastikan kita berada di jalan yang betul sentiasa.
Sama-samalah islah atau baikilah diri mulai sekarang kerana ajal maut adalah rahsia Allah Taala. Jika niat kita untuk berubah KERANA Allah, insya-Allah kita tidak akan rasa segan dan malu untuk berubah. Betulkan niat mulai saat ini. Wallahualam.
Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut : 6 yang bermaksud:
“Dan sesiapa Yang berjuang (menegakkan Islam) maka Sesungguhnya Dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.”
Mari bersama-sama kekalkan ukhwah antara kita dan hindari perselisihan dan sengketa.
cara-cara untuk mendapatkan ukhuwah Islamiah
- Ucapkan sayang kita kepada orang itu.
- Mendoakan tanpa diketahuinya
- Ceriakan muka tiap kali bertemu
- Bersalaman ketika berjumpa
- Ziarah
- Ucapkan tahniah ketika mereka berjaya
- Prihatin terhadap masalah-masalah dan keperluan saudara
- Laksanakan hak-hak ukhuwah~ (Jika berjumpa berikan salam, jika dijemput maka perkenankanlah, jika meminta nasihat maka nasihatilah, jika ia bersin dan memuji Allah maka doakanlah, jika ia sakit maka ziarahlah, dan jika ia mati maka hantarlah jenazahnya)
- Memberi hadiah
“Ukhuwah itu bukan terletak pada pertemuan, bukan pada manisnya ucapan di bibir. Tetapi pada ingatan seseorang terhadap saudara di dalam doanya.” (Imam Ghazali)